ASSALAMUALAIKUM ..

Lamak dash x update blog...perkongsian sedikit untuk tatapan bersama..semoga bermanfaaat..aminnn



AMALAN MURAH REZEKI BERPANDUKAN AL QURAN & HADIS Terdapat beberapa amalan untuk mendapat rezeki yang murah. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

 1. Jangan tinggalkan beribadah kepada Allah. Pastikan solat 5 waktu dikerjakan pada waktunya, sebaik-baiknya secara berjemaah.Firman Allah SWT dalam hadis qudsi yang maksudnya : "Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahku nescaya aku membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu". ~(Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah, dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a)

 2. Memperbanyakkan istighfar . Memohon kepada Allah, merintih dan mengaku kesalahan di hadapan Allah SWT boleh menjadi sebab Allah SWT akan bertambah kasih kepada kita. Firman Allah SWT maksudnya : “Mohonlah ampun kepada Rabb kalian, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat (melimpah ruah membawa kebaikan), dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai (yang penuh dengan kebaikan dan manfaat).” ~(Surah Nuh ayat 10 – 12) Sabda Nabi S.A.W. " Barangsiapa memperbanyak istighfar maka Allah akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.~(Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a)

 3. Meninggalkan perbuatan dosa. Setakat beristighfar sahaja tidak mencukupi kalau masih melakukan dosa. Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan, dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu ditahan rezekinya disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya.” ~( Hadis Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan) Sabda Rasulullah S.A.W :"...dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya" ~(Hadis Riwayat At-Tirmizi)

 4. Banyak ingat Allah. Sumber rezeki dalam bentuk ketenangan yang Allah SWT janjikan dalam firmannya dalam surah Ar-Ra'd, ayat 28 yang bermaksud : "...ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram."

 5. Berbakti dan mendoakan kedua ibu bapa. Dalam hadis riwayat Imam Ahmad berbakti dan mendoakan kedua ibu bapa boleh memanjangkan umur dan di murahkan rezeki. “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” ~(Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim) Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud : “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” ~(Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

 6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah Membantu orang yang memerlukan bantuan seperti orang tua, orang sakit, anak yatim, orang fakir miskin, isteri dan anak-anak. Sabda Nabi SAW yang maksudnya : “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.”~(Hadis Riwayat Bukhari)

 7. Menyampaikan hajat orang lain. Apabila kita menyampaikan hajat saudara kita maka Allah SWT akan membalasnya dalam bentuk tertunainya pula hajat kita. Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” ~(Hadis Riwayat Muslim)

8. Banyakkan berselawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya. " ~(Hadis Riwayat Baihaqi dari Al-Khatib) Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : " Sesuatu doa terdinding (terhalang) sehinggalah seseorang yang berdoa berselawat kepada Nabi SAW. "~(Hadis Riwayat At-Tabaraani) Dengan berselawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.

 9. Buat kebajikan dan membantu orang yang lemah. Nabi SAW bersabda maksudnya : “Carilah untukku orang-orang lemah kerana hanya kita diberi rezeki dan dibantu sebab orang-orang lemah dari kalangan kamu.” ~(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Ibnu Hibban, Al Hakim) Ibnu Abbas berkata:“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

 10. Bersedekah waktu pagi meredakan murka Allah, menarik rezeki dan menolak bala. Nabi SAW berwasiat kepada Saidina Ali k.wj maksudnya : "Wahai Ali ! Sedekah yang sembunyi-sembunyi itu dapat mereda murka Allah dan dapat menarik rezeki dan berkah yang banyak. Maka berpagi-pagilah kalau bersedekah. Kerana sesungguhnya bahaya itu turun pagi hari, sebelum bahaya turun, bersedekahlah sehingga dapat menolak bahaya di udara." Nabi SAW bersabda maksudnya : “Apabila kamu telah selesai solat subuh janganlah kamu tidur tanpa mencari rezeki.” ~(Hadis Riwayat Tabrani) Nabi SAW bersabda maksudnya : “Pergilah awal pagi untuk mencari rezeki dan keperluan kerana pagi membawa keberkatan dan kejayaan.” ~(Hadis Riwayat Tabrani, Ibnu Adi) Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur pada waktu Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya, "Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan?"

 11. Menjalin silaturrahim. Nabi SAW bersabda maksudnya : “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya (menjalini silaturahim)” ~(Hadis Riwayat Bukhari)

 12. Sentiasa dalam keadaan berwuduk. Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid r.a)

 13. Banyakkan membantu dan melapangkan kesusahan orang lain. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam maksudnya : “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” ~(Hadis Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

 14. Hormati dan melayan tetamu. Nabi SAW berwasiat kepada Saidina Ali k.wj. maksudnya : "Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah sesaorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan."

 15. Amalan Solat Dhuha. Firman Allah SWT dalam hadis qudsi yang bermaksud : “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Duha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”~(Hadis Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

 16. Syukur di atas segala pemberian Allah. Firman Allah SWT maksudnya :“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” ~(Surah Ibrahim ayat 7)

 17. Mengamalkan ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran yang mempunyai fadhilat dalam meluaskan rezeki. i- Membaca Surah Al-Waqiah